Kerjaya Formula Satu Sergio Pérez

Sauber (2011–2012)

Musim 2011

Pérez memandu untuk Sauber di Grand Prix Malaysia 2011.

Pada 4 Oktober 2010, Sauber mengumumkan bahawa Pérez akan menyertai mereka pada tahun 2011 dan akan mengantikan Nick Heidfeld. Sauber kemudiannya mengumumkan perkongsian bersama penaja Pérez, iaitu Telmex.[11] Pérez merupakan pemandu Mexico yang kelima untuk bersaing dalam Formula Satu, dan yang pertama sejak Héctor Rebaque, yang bersaing antara tahun 1977 dan 1981. Pada 8 Oktober 2010, Ferrari mengesahkan bahawa Sergio Pérez telah menjadi salah seorang ahli dalam skim Akademi Pemandu Ferrari mereka.

Beliau mendapat tempat ketujuh pada perlumbaan sulungnya di Grand Prix Australia, dan hanya membuat satu perhentian pit untuk menukar tayar.[12] Walau bagaimanapun, kedua-dua kereta Sauber disingkirkan daripada perlumbaan tersebut kerana melanggar peraturan teknikal.[13] Di Grand Prix China, Pérez bermula dari tempat ke-12, dan berlanggar dengan beberapa pemandu lain sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-17. Di Sepanyol, Pérez mendapat mata pertama beliau dengan mendapat tempat kesembilan, di hadapan rakan sepasukan, Kamui Kobayashi, yang mendapat tempat kesepuluh.

Semasa sesi kelayakan bahagian ketiga di Grand Prix Monaco, Pérez mengalami kemalangan yang dashyat selepas keluar dari seksyen terowong litar. Sesi tersebut digantung, dan marshal serta kakitangan perubatan membantu Pérez keluar dari kereta beliau. Seorang jurucakap pasukan Sauber mengesahkan bahawa Pérez sedar dan boleh bercakap selepas kemalangan itu, dan beliau dibawa ke pusat perubatan di litar.[14] Beliau tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan atas sebab perubatan.[15] Pérez tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan pada hari berikutnya, dan Kobayashi sahajalah yang mewakili Sauber untuk hari tersebut. Selepas mengambil bahagian dalam sesi latihan pertama di Grand Prix Kanada, Pérez merasakan yang beliau belum pulih sepenuhnya dan memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana sesi selanjutnya. Beliau telah digantikan oleh Pedro de la Rosa. Beliau kembali untuk berlumba di Valencia bagi Grand Prix Eropah, dan mendapat tempat kesebelas selepas melakukan hanya satu perhentian pit. Pérez mendapat tempat ketujuh di Grand Prix British dan kesebelas di Jerman. Selepas mendapat tempat ke-15 di Hungary, bersara di Belgium, diikuti oleh kegagalan kotak gear semasa berada di tempat ketujuh di Itali, beliau mendapat satu mata di Singapura, selepas dipotong oleh Felipe Massa. Di Jepun, beliau mendapat tempat kelapan dan mendapat empat mata kejuaraan. Di Korea, beliau gagal untuk mendapat sebarang mata selepas mendapat tempat ke-16. Beliau memperoleh satu mata di India, selepas mendapat tempat kesepuluh. Di Abu Dhabi, beliau memulakan dan menamatkan perlumbaan di tempat kesebelas.

Pada 28 Julai, ia telah diumumkan bahawa Pérez akan kekal bersama Sauber bagi musim 2012, bersama-sama rakan sepasukan, Kobayashi.[16] Pada 13 September, Pérez menguji untuk Ferrari, sebagai seorang ahli dalam Akademi Pemandu Ferrari dalam sebuah Ferrari F60, iaitu kereta Ferrari pada musim 2009. Pérez melakukan ujian tersebut bersama ahli akademi, Jules Bianchi.[17]

Pérez menamatkan musim 2011 di tempat ke-16, dengan 14 mata.

Musim 2012

Pérez mengejar Alonso di Grand Prix Malaysia 2012.

Pérez memulakan musim ini dengan mendapat tempat kelapan di Grand Prix Australia, setelah kehilangan beberapa tempat pada pusingan terakhir.[18] Di Malaysia, beliau bersaing bersama Fernando Alonso untuk mendapatkan kemenangan mereka yang pertama bagi musim ini. Dalam beberapa pusingan terakhir perlumbaan, beliau merapatkan jurang kepada 0.5 saat, tetapi tidak mampu untuk memintas Alonso selepas melakukan kesilapan pada selekoh ke-14. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dengan jurang 2.2 saat di belakang Alonso. Ramai yang memuji prestasi Pérez pada perlumbaan tersebut walaupun melakukan kesilapan pada saat-saat akhir.[19][20][21] Keputusan tersebut merupakan yang terbaik bagi Sauber sebagai sebuah pasukan.[22] Di Grand Prix China, Pérez bermula di tempat kelapan, namun menamatkan perlumbaan di tempat kesebelas selepas mengalami masalah dengan strategi pit dan cekam keretanya.[23]

Beliau gagal mendapat mata dalam tiga perlumbaan seterusnya, namun menetapkan masa pusingan terpantas di Monaco[24] Pérez mendapat podium kedua dalam kerjayanya di Grand Prix Kanada dengan mendapat tempat ketiga, setelah bermula dari tempat ke-15.[25]

Pérez mendapat tempat ketiga di Grand Prix Kanada 2012.

Di Grand Prix Eropah, Pérez memulakan perlumbaan di tempat ke-15. Namun selepas beraksi dengan cemerlang, beliau menamatkan perlumbaan kesembilan.[26] Pada pusingan ke-12 di Grand Prix British, Pérez berlanggar dengan Pastor Maldonado, dan terpaksa bersara dari perlumbaan selepas ampaian keretanya rosak. Beliau kemudiannya mengkritik pemandu Venezuela tersebut, dan mendakwa bahawa, "Semua orang bimbang akan dia", sebelum menambah, "Dia ialah seorang pemandu yang tidak tahu bahawa kita mempertaruhkan nyawa kita dan dia tidak mempunyai rasa hormat langsung". Maldonado menerima dua penalti, iaitu dalam bentuk teguran dan didenda sebanyak €10,000 selepas perlumbaan. Pérez kemudian menambah: "Lihatlah pada perlumbaan terakhir dia. Dia menyebabkan Hamilton bersara (di Valencia) dan merosakkan perlumbaan saya di Monaco dengan melakukan perkara-perkara bodoh. Saya tidak faham mengapa steward tidak mengambil keputusan yang serius terhadap dia. Dengan Pastor, mereka tidak melakukan apa-apa yang akan memberinya pengajaran."[27]

Pérez di Grand Prix Amerika Syarikat 2012

Di Grand Prix Jerman, Pérez bermula dari tempat ke-17 dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Beliau mempertahankan kedudukan tersebut daripada Michael Schumacher, yang menetapkan masa pusingan terpantas perlumbaan tersebut.

Di Grand Prix Belgium, Pérez berjaya memasuki Q3 dan mencatatkan masa pusingan kelima terpantas. Penalti bagi Maldonado kemudiannya menaikkan kedudukan Pérez ke tempat keempat. Dalam perlumbaan, Pérez terpaksa bersara di selekoh pertama pada pusingan pertama selepas Romain Grosjean menyebabkan sebuah kemalangan yang dashyat. Grosjean merempuh ke belakang kereta Lewis Hamilton, dan menyebabkan beberapa pemandu lain terlibat dalam kemalangan tersebut. Antara yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah pendahulu kejuaraaan, Fernando Alonso, dan rakan sepasukan Pérez, Kamui Kobayashi.[28]

Pérez mendapat podium ketiga dalam kerjayanya di Grand Prix Itali. Pada hari Sabtu, beliau gagal memasuki Q3 dan terpaksa bermula dari tempat ke-12. Pada hari Ahad, beliau memulakan perlumbaan dengan menggunakan tayar keras dan kemudiannya mengantikan tayar tersebut kepada tayar sebatian sederhana pada pusingan ke-29. Beliau juga mendahului lima pusingan dalam perlumbaan tersebut.

Pérez menamatkan musim di tangga kesepuluh dalam Kejuaraan Pemandu Dunia dengan 66 mata, 6 mata lebih daripada rakan sepasukan, Kobayashi.[29]

McLaren (2013)

Musim 2013

Pérez memandu untuk McLaren di Grand Prix Malaysia

Pada 28 September 2012, Lewis Hamilton membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan McLaren untuk ke Mercedes bagi musim 2013, dan Pérez disahkan sebagai penganti Hamilton. Beliau juga mengantikan Hamilton dalam kartun McLaren, Tooned.[30]

Di Grand Prix Australia, Pérez mengalami minggu untuk mengecewakan. Beliau melayakkan diri di tempat ke-15 dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-11. Pérez memulakan Grand Prix Malaysia di tempat kesembilan, dan menamatkan perlumbaan di tempat yang sama. Pérez juga menetapkan masa pusingan terpantas pada perlumbaan ini.[31][32]

Di Grand Prix Bahrain, Pérez berjaya mendapat mata sekali lagi, setelah bermula di tempat ke-12 dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam, di hadapan Alonso (ke-8) dan rakan sepasukan, Button (ke-10).[33]

Di Grand Prix Monaco 2013, Pérez memintas beberapa kereta secara agresif, sebelum bersara selepas berlanggar dengan Kimi Räikkönen. Berikutan insiden itu, Räikkönen berkata bahawa Pérez sepatutnya "ditumbuk di muka".[34]

Rujukan

WikiPedia: Sergio Pérez http://www.automedia.com/Blog/post/Motorsports-Mon... http://www.autosport.com/news/report.php/id/100696 http://www.autosport.com/news/report.php/id/80497 http://www.autosport.com/news/report.php/id/87193 http://www.autosport.com/news/report.php/id/91795 http://www.autosport.com/news/report.php/id/91821 http://www.autosport.com/news/report.php/id/98864 http://www.driverdb.com/drivers/sergio-perez/ http://escuderiatelmex.com/index.php?option=com_k2... http://www.ferrari.com/English/Formula1/News/Headl...